Penemuan relau peleburan besi purba di Sungai Jaong dianalisa

KUCHING: Analisa berhubung penemuan relau peleburan besi purba di Delta Sungai Sarawak khususnya Sungai Jaong, Santubong tahun lalu kini giat dilakukan.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah mendedahkan keputusan analisis radiokarbon terhadap relau itu diperoleh tahun ini menunjukkan bahawa aktiviti metalurgi wujud antara abad ke-10 dan ke-13.

“Analisis lanjut sedang dijalankan, dan kami tidak sabar untuk menjangkakan penemuan daripada projek arkeologi ini,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Warisan Sarawak di sini.

Abdul Karim berkata, tapak arkeologi Sungai Jaong mula diterokai kurator Jabatan Muzium Sarawak, mendiang Tom Harrison, dari 1947 hingga 1967 dan penggalian sebelum ini menghasilkan penemuan termasuk sanga besi, serpihan tuyere, tembikar dan serpihan seramik Cina, batu kerja dan manik.

“Selepas 70 tahun, projek arkeologi baharu yang memberi tumpuan kepada Delta Sungai Sarawak, khususnya Sungai Jaong, telah ditubuhkan pada 2017,” katanya.

Katanya projek arkeologi baharu itu melibatkan kerjasama antara Sekolah Pengajian Asia Perancis (EFEO) di Kuala Lumpur dan Jabatan Muzium Sarawak.