SEBUYAU: Stesen Pam Penggalak Tebelu di sini, yang sudah beroperasi, memperkukuhkan usaha Kerajaan Sarawak untuk membekal air bersih dan terawat di luar bandar.
Stesen tersebut membabitkan kos pembinaan sebanyak RM36.7 juta.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, projek ini merupakan antara inisiatif penting kerajaan ke arah mencapai 100 peratus liputan bekalan air menjelang 2030.
“Pelaksanaan Pelan Induk Bekalan Air Sarawak dan pembangunan Sistem Grid Bekalan Air yang diilhamkan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg adalah langkah strategik jangka panjang dalam menyelesaikan isu bekalan air secara menyeluruh, sama ada di bandar mahupun luar bandar.
“Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM4.6 bilion di bawah Dana Alternatif dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), merangkumi 407 projek bekalan air, dan setakat ini, 71.7 peratus daripadanya telah siap,” katanya dalam ucapan perasmian hari ini.
Katanya, projek merupakan sebahagian daripada Projek Rakyat Pakej 3C itu dimulakan pada tahun 2019 dan disiapkan pada awal tahun 2023.
Dalam pada itu, Julaihi mendedahkan kerajaan telah meluluskan RM1.1 bilion untuk projek penggantian serta naik taraf saluran paip sepanjang 2,742 kilometer (km) di seluruh negeri, sebagai langkah untuk mengurangkan kadar Air Tidak Berhasil (NRW).
Bagi Bahagian Samarahan katanya, sejumlah RM14.8 juta telah diperuntukkan untuk melaksanakan lapan projek penggantian paip baharu sepanjang 40.7km, yang dijangka dilaksanakan dalam tempoh 2024 hingga 2025.
Dalam masa sama, beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap isu vandalisme terhadap aset kerajaan yang menyebabkan kerugian berjuta-juta ringgit dan memberi kesan kepada kelangsungan hidup rakyat.
