KUCHING: Persetujuan Kerajaan Republik Indonesia untuk membuka laluan sempadan Tebedu-Entikong bagi tujuan perdagangan akan ekonomi serantau di Kepulauan Borneo.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, langkah itu menandakan kejayaan penting hasil pertemuan dua hala antara Malaysia dan Indonesia baru-baru ini.
Katanya, persetujuan yang dicapai ini akan menjadi titik perdagangan penting yang menghubungkan kedua-dua negara ini.
“Dalam mesyuarat dua hala tersebut, saya dijemput Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berjumpa dengan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto.
“Saya mengambil peluang untuk membincangkan hal di sempadan Tebedu-Entikong.
“Pihak berkuasa Indonesia bersetuju membuka Tebedu dan Entikong sebagai laluan perdagangan di mana, Presiden Prabowo menyatakan persetujuan agar sempadan berkenaan dibuka untuk urusan perniagaan meskipun pada awalnya mereka tidak bersetuju.
“Melalui Tebedu dan Entikong, ia akan menjadi titik perdagangan penting yang menghubungkan kedua-dua negara,” katanya pada Majlis Perasmian Hostel Komuniti Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) dan Sambutan Ulang Tahun Ke-70 persatuan berkenaan, di sini malam tadi.
Tambahnya, kejayaan ini akan membuka peluang perniagaan yang lebih besar kepada Sarawak, malah kepada penduduk di sekitar Tebedu.
Bagi mengukuhkan lagi kerjasama dua hala itu, Premier berkata kerajaan negeri akan meningkatkan bekalan tenaga dari Lubok Antu ke Badau susulan permintaan dari kerajaan Indonesia.
“Oleh itu, dari sudut ekonomi, pertanian dan juga perdagangan, terdapat banyak peluang yang boleh kita manfaatkan untuk membangunkan sebuah ekonomi bersepadu dalam ASEAN,” ujar beliau lagi.
