Budayakan gaya hidup sihat

MIRI: Karnival Santuni MADANI dan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) 2025 menekankan kepentingan transformasi kesihatan negara daripada konsep penjagaan pesakit kepada penjagaan kesihatan menyeluruh.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, ANMS adalah usaha kesihatan awam negara untuk menggalakkan pembudayaan hidup sihat dan kelestarian persekitaran.

“Kesihatan yang baik bukan sahaja berkaitan rawatan penyakit, tetapi turut merangkumi aspek sosial, pendidikan, ekonomi dan kesejahteraan masyarakat.

“ANMS memberi tumpuan kepada usaha kolektif kerajaan, komuniti dan swasta bagi membina masyarakat yang sihat, berdaya tahan dan produktif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Santuni MADANI dan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) 2025 di Kampung Tunku Abdul Rahman, Lambir di sini, semalam.

Program dua hari ini menghimpunkan lebih 20 agensi kerajaan, swasta dan NGO dengan pelbagai aktiviti seperti saringan kesihatan percuma, zon kerjaya, pertandingan futsal, sepak takraw, sukan rakyat, jualan Rahmah serta sesi pocket talk mengenai kesedaran kesihatan dan isu sosial.

Lukanisman yang juga Ahli Parlimen Sibuti berkata, rujukan Tinjauan Literasi Kesihatan Malaysia 2023 yang menunjukkan 27 peratus rakyat masih pada tahap literasi kesihatan terhad.

Manakala, data NHMS 2023 merekodkan peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD) termasuk kencing manis, hipertensi dan obesiti.

Justeru, ANMS digerakkan bagi meningkatkan kesedaran, literasi serta tindakan kesihatan kendiri, katanya.