LUBOK ANTU: Projek ladang solar terapung pertama Sarawak bakal menjadikan loji janakuasa Batang Ai sebagai negara ini menghasilkan sehingga 170 megawatt (MW) tenaga menerusi gabungan hidro dan solar.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, projek tersebut akan siap tidak lama lagi akan melengkapkan loji janakuasa hidro sedia ada.
“Kita akan tambah lagi 120 MW dengan 50 MW sedia ada, bermakna Batang Ai akan mengeluarkan 170 MW elektrik dan ini mungkin yang terbesar di Malaysia,” katanya ketika merasmikan Majlis Ulang Tahun Ke-40 Loji Hidroelektrik Batang Ai, di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Premier, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi, Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan PETROS) Dato Ibrahim Baki serta tetamu kenamaan lain.
Abang Johari berkata, Kerajaan Sarawak akan terus meneroka potensi sumber tenaga yang lain untuk mencapai pengeluaran 10 gigawatt tenaga menjelang 2030.
Ini termasuk meneroka potensi tenaga daripada biojisim dan menggunakan kaedah-kaedah baharu seperti empangan melata dan teknologi turbin yang terkini.
Dalam perkembangan lain, Abang Johari menjelaskan, Kerajaan Sarawak meluluskan dana berjumlah RM2 juta bagi tujuan pembangunan pelbagai sektor di kawasan Batang Ai, termasuk rumah panjang, kampung dan pembangunan ketua komuniti.
Beliau berkata, dana ini diluluskan sebagai persiapan untuk membuka kawasan Batang Ai sebagai lokasi pelancongan baharu di Sarawak kerana tarikan pada empangannya dan santuari hidupan liar di Lanjak Entimau.
