Bukan sekadar loji hidroelektrik, Batang Ai pemacu kemajuan Sarawak

LUBOK ANTU: Bukan sekadar loji hidroelektrik, Empangan Hidro Batang Ai kini menjadi pemacu pembangunan ekonomi, sosio-ekonomi dan kelestarian alam Sarawak selepas 40 tahun beroperasi.

Menurut Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Sarawak Energy Berhad dan PETROS), Dato Ibrahim Baki, tenaga hidro daripada Batang Ai menyediakan elektrik yang boleh dipercayai dan berpatutan, membolehkan perniagaan dan industri beroperasi dengan efisien serta merangsang peluang pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi.

“Tenaga hidro menyediakan elektrik yang boleh dipercayai dan berpatutan, membolehkan perniagaan dan industri beroperasi dengan lancar. Ia merangsang penciptaan pekerjaan serta pertumbuhan ekonomi.

“Dengan menghasilkan tenaga bersih dan boleh diperbaharui, tenaga hidro juga mengurangkan jejak karbon Sarawak dan menyokong matlamat iklim Malaysia,” katanya dalam ucapan aluan pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-40 Empangan Hidroelektrik Batang Ai, di sini, hari ini.

Hadir menyempurnakan majlis berkenaan ialah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Tambah Ibrahim, Batang Ai memainkan peranan penting dalam integrasi tenaga boleh diperbaharui lain, menyaksikan tenaga hidro bertindak seperti bateri berskala besar.

Ia memastikan grid elektrik stabil walaupun digabungkan dengan tenaga solar dan sumber hijau lain.

Dari sudut alam sekitar pula, Ibrahim menegaskan, Batang Ai kini menjadi habitat lebih 2,500 orang utan liar melalui pengisytiharan Taman Negara Batang Ai, manakala inisiatif penanaman semula pokok memulihkan kawasan hutan yang terjejas.