Elak jadi hamba teknologi digital

KUCHING: Penduduk diingatkan kesan teknologi digital terhadap mereka, keluarga dan generasi muda.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata ini kerana teknologi itu membawa banyak manfaat, namun pendedahan berlebihan tanpa kawalan boleh menjejaskan hubungan kekeluargaan serta akhlak generasi muda.

Katanya ini juga menyebabkan mereka menjadi hamba kepada teknologi terbabit.

“Teknologi harus menjadi hamba kepada manusia, bukan manusia menjadi hamba kepada teknologi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hari Keluarga Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar (MUDENR) 2025 di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, keluarga merupakan tunjang utama masyarakat dan negeri kerana daripada keluarga lahirnya generasi berilmu, berdisiplin serta berakhlak mulia yang menjadi asas kepada masyarakat stabil dan negeri makmur.

“Jika keluarga runtuh, masyarakat akan lemah, dan negeri pula akan terdedah kepada pelbagai cabaran sosial serta pembangunan yang tidak mampan,” katanya.

Beliau turut menyentuh peranan Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar yang bukan sahaja bertanggungjawab menyediakan dasar dan pelan pembangunan fizikal, malah memastikan kesejahteraan rakyat melalui pembangunan mampan di bandar dan luar bandar.