KUCHING: Usaha memperkukuh nilai integriti dalam sektor awam dan awam-swasta menjadi sebahagian daripada agenda pembangunan negeri Sarawak, kata Premier Sarawak.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, nilai integriti itu turut termasuk dalam Pelan Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 kerana tatakelola yang baik adalah prasyarat kepada kejayaan mana-mana pelan transformasi.
“Dengan Ordinan Ombudsman, Sarawak telah menetapkan satu standard dalam tadbir urus kerajaan iaitu satu mekanisme bagi mengelak salahguna kuasa, mengurangkan risiko kelakuan jijik dan menerapkan integriti sebagai asas membuat keputusan dalam tadbir urus, katanya merasmikan
Persidangan Kebangsaan Mengenai Integriti dan Tadbir Urus (NCIG) 2025 di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Beliau berkata, Sarawak adalah perintis di Malaysia dalam menubuhkan institusi ombudsman yang lengkap dengan kerangka kerja undang-undang dan meletakkan Sarawak sejajar dengan negara membangun dalam melaksanakan amalan tadbir urus terbaik.
Bertemakan ‘Reimagining Governance for People, Planet dan Profit’, persidangan yang dihadiri lebih 1,000 peserta itu adalah julung kali diadakan di negeri ini.
Abang Johari berkata, memperkukuh nilai integriti itu juga mencerminkan komitmen dalam menjamin ketelusan, keadilan dan akauntabiliti pentadbiran.
“Bercakap tentang integriti dan tatakelola, kita tidak hanya membincangkan soal prosedur dan penguatkuasaan, tetapi sebenarnya sedang mempertahankan masa depan negeri, negara dan rakyat kita daripada risiko kejatuhan sistemik,” tegas beliau.
Menurutnya, dunia kini berhadapan dengan cabaran tiga serangkai iaitu ketidaksamaan sosial yang melebar, krisis alam sekitar yang kian meruncing, serta tekanan ekonomi dan teknologi yang menguji daya tahan institusi.
Dalam menghadapi cabaran itu, tambahnya, tatakelola yang baik bukan lagi pilihan, tetapi merupakan satu prasyarat asas.
Beliau menegaskan, integriti bukan semata-mata instrumen penguatkuasaan tetapi asas kepada pembangunan mampan.
Tanpa integriti, katanya, segala pelan hanya tinggal retorik dan tanpa tadbir urus yang telus dan bebas, janji kemajuan akan runtuh sebelum sampai ke rakyat.
Biarlah persidangan ini menjadi titik mula kepada satu gerakan nasional dan serantau menjadikan integriti sebagai strategi, tadbir urus sebagai budaya, dan kemakmuran sebagai hak semua, tegas beliau.
