Sarawak mampu kawal, tadbir industri tenaga negeri

KUCHING: Perolehan kuasa kawal selia ke atas gas petroleum cecair (LPG) mengukuhkan kedudukan Sarawak dalam sektor tenaga dan memperluas autonomi di bawah semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, penguasaan itu membuktikan kesungguhan kerajaan negeri pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam memastikan hasil bumi Sarawak diurus serta dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat sendiri.

“Melalui Petroleum Sarawak Berhad (PETROS), kita kini mampu mentadbir dan mengawal industri tenaga negeri secara menyeluruh. Langkah ini bukan sahaja mengembalikan hak Sarawak terhadap sumbernya, tetapi turut membuka peluang baharu dalam membangunkan ekonomi berasaskan tenaga,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa Sempena Sambutan Hari Lahir Rasmi Ke-79 Yang di-Pertua Negeri di Padang Merdeka di sini, hari ini.

Hadir sama, Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.

Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof serta isteri Datin Sri Ruziah Mohd Tahir, Timbalan-Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar serta menteri-menteri kabinet negeri dan persekutuan.

Tambah Pengerusi GPS terbabit, pelaksanaan Cukai Jualan Negeri (SST) sebanyak lima peratus terhadap produk petroleum sejak tahun 2019 menjadi pemangkin kepada peningkatan hasil negeri.

Menurutnya, keputusan berani itu telah mengukuhkan kedudukan kewangan Sarawak dan membolehkan kerajaan negeri melaksanakan pelbagai agenda pembangunan rakyat tanpa bergantung sepenuhnya kepada Kerajaan Persekutuan.

Abang Johari menjelaskan, bagi memperkukuh industri tenaga, kerajaan negeri melaksanakan Pelan Hala Tuju Gas Sarawak yang menumpukan kepada pengembangan industri hiliran seperti petrokimia dan pengeluaran berasaskan gas.

“Hasilnya, Sarawak kini mempunyai kilang metanol sendiri di Tanjung Kidurong, Bintulu, di samping projek turbin gas kitaran gabungan oleh PETROS di Miri dan stesen janakuasa oleh Sarawak Energy Berhad (SEB) di Bintulu.

“Sarawak juga bakal muncul di persada dunia dengan pembinaan loji ammonia hijau di Bintulu — yang pertama seumpamanya di dunia apabila siap kelak. Projek ini akan menjadikan Sarawak peneraju dalam bidang tenaga hijau serta simbol komitmen kita terhadap pembangunan mampan,” ujarnya.