Projek SSLR: Terowong pertama jalan raya pertama berbukit Sarawak akan dibina

KUCHING: Sarawak bakal mempunyai terowong pertama untuk jalan raya berbukit melalui Projek Jalan Penghubung Sarawak–Sabah (SSLR), kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof.

Beliau berkata, fasa pertama SSLR kini berjalan lancar, manakala fasa kedua telah dimulakan melalui majlis pecah tanah yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Limbang, baru-baru ini.

Projek SSLR fasa satu di Lawas dimulakan pada 2021 mencatat kemajuan 57.6 peratus setakat Julai 2025 manakala Projek SSLR fasa kedua sejauh 335 kilometer (km) melibatkan Miri, Limbang, Lawas dan Ba’ Kelalan.

“Apa yang menjadikan projek ini istimewa ialah pembinaan terowong pertama di Sarawak. Ia satu pencapaian besar dari segi kejuruteraan memandangkan kawasan tersebut mempunyai bentuk muka bumi yang berbukit,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Belanjawan Malaysia MADANI 2026 di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Fadilah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air merangkap Ahli Parlimen Petra Jaya itu berkata terowong berkenaan akan dibina di kawasan Limbang bagi mewujudkan laluan lebih pendek, selamat dan mesra alam.

“Sebagai contoh, jarak perjalanan yang sebelum ini sekitar 14 hingga 20 km akan dipendekkan kepada kira-kira tujuh km sahaja dengan pembinaan terowong ini,” katanya.

Beliau berkata, teknologi pembinaan terowong itu menggunakan kepakaran dari China namun perincian teknikal dan lokasi sebenar masih dalam peringkat pelarasan.

Keseluruhan projek SSLR itu dianggarkan bernilai kira-kira RM6 bilion yang direka bentuk sebagai jalan sehala dan dilaksanakan berperingkat bagi memastikan kualiti serta pematuhan kepada jadual siap ditetapkan.