KUCHING: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri menasihati orang ramai supaya membuat laporan awal jika ada tekanan, kemurungan, konflik rumah tangga atau keganasan domestik.
Beliau berkata, lapor awal bukan membuka aib tetapi untuk menyelamatkan nyawa dan hubungi Talian Kasih 15999 (24 jam) atau WhatsApp 019-261 5999.
“Ibu bapa ialah ‘guru emosi’ pertama dan anak-anak perlukan teladan, pelukan dan sempadan,” katanya merasmikan Program Karnival Sejahtera Madani dan Jelajah Jom Sihat (ANMS) 2025 Bahagian Kuching (Santubong) di sini, hari ini.
Beliau berkata, apa yang perlu dilakukan termasuk memantau penggunaan skrin, kenali tanda-tanda buli siber dan dapatkan bantuan jika perlu.
Katanya, ibu bapa sering lebih awal mengesan perubahan emosi murid dan tanda-tanda awal sesebuah keluarga yang memerlukan bimbingan.
Bagi warga emas, maruah dan kualiti hidup mesti terus dijaga melalui aktiviti komuniti mesra warga emas, rehat penjaga dan pengesanan awal demensia, tegas beliau.
Tema “IAB & Komuniti Berpisah Tiada: Harmoni Keluarga, Warnai Kesejahteraan Komuniti MADANI” bukan slogan semata-mata tetapi adalah cerminan bagaimana keluarga, sekolah dan komuniti bergerak seganding; keluarga menjadi kukuh, anak-anak lebih terarah dan komuniti lebih selamat serta sejahtera.
Pada program itu, perkhidmatan dibawa terus kepada rakyat.
Turut diadakan ialah pemeriksaan kesihatan, senamrobik dan fun walk, pertandingan mewarna dan melukis, STEM Showcase & STEM Challenge bersama TEGAS.