ROBAN: Penghuni Rumah Augustine, Empayak di sini kini tidak perlu lagi menggunakan perahu untuk menyeberangi Sungai Sebelak, apabila projek jalan ke rumah panjang terbabit siap sepenuhnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri Kalaka, Mohamad Duri berkata, projek yang dilaksanakan di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) itu memberi kemudahan yang amat diperlukan oleh masyarakat.
Sebelum siapnya projek jalan masuk ke rumah panjang terbabit, penduduk di kawasan tersebut terpaksa menggunakan perahu untuk menyeberangi Sungai Sebelak bagi menuju ke rumah panjang mereka.
“Menyedia kemudahan asas rakyat di luar bandar sentiasa menjadi keutamaan bagi memastikan tiada komuniti yang terpinggir daripada arus pembangunan negeri,”katanya ketika melawat tapak baharu cadangan untuk Rumah Panjang Augustine, Empayak, Roban, dekat sini, semalam.
Pembinaan jalan ini bukan sahaja memudahkan pergerakan harian penduduk, malah membuka peluang untuk meningkatkan taraf ekonomi serta memperkukuh hubungan sosial antara komuniti,
katanya.
Hadir sama Pegawai Tadbir Menguasa Pejabat Daerah Kecil Roban, Steve Miller Nuas, Kaunselor Kasdi Pandi, serta wakil daripada Jabatan Tanah dan Survei (JTS), Jabatan Pengairan dan Saliran (DID), Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Sarawak Energy Berhad (SEB), dan pemimpin tempatan.
Lawatan berkenaan turut disertai Penghulu Bundan Belatok, Penghulu Kampung Sessang Kamaluddin Rambli serta wakil Pusat Khidmat ADUN Kalaka sebagai tanda komitmen bersama dalam memastikan kebajikan penduduk terus diberi perhatian.
Sebelum lawatan ke tapak baharu, sesi randau telah diadakan bersama penduduk bagi mendapatkan maklum balas dan pandangan mereka terhadap pembangunan di kawasan berkenaan.