Nilai integriti dalam kepimpinan berwibawa

KOTA SAMARAHAN: Program Kursus Integriti Kepimpinan Masyarakat (MIKM) menunjukkan impak positif dalam usaha memperkukuh kepimpinan ketua masyarakat dan ketua kaum di daerah ini.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata, pelaksanaan MIKM mendapat sambutan menggalakkan dan menjadi platform penting dalam memupuk nilai integriti serta etika kepimpinan di peringkat komuniti.

“Saya difahamkan ramai ketua kaum dan ketua masyarakat hadir serta memberikan sokongan penuh bagi memastikan kursus ini lancar.

“Selaras dengan matlamat kerajaan negeri membina masyarakat berintegriti tinggi, MIKM menjadi antara inisiatif penting dalam memperkukuh budaya tadbir urus dan tanggungjawab di peringkat akar umbi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri MIKM Tahap 1 (Siri 18) dan Tahap 2 (Siri 7) Daerah Samarahan Dewan Persidangan Salcra, hari ini.

Rubiah menegaskan, MIKM bukan sekadar latihan teori semata-mata, sebaliknya satu gerakan untuk membudayakan nilai amanah, akauntabiliti dan kejujuran dalam kalangan pemimpin komuniti.

Beliau yakin modul komprehensif yang dibangunkan mampu membantu kerajaan negeri melahirkan barisan kepimpinan akar umbi yang berdaya tahan, berwibawa dan berprinsip.

Setakat ini, sebanyak 18 siri MIKM Tahap 1 dan enam siri MIKM Tahap 2 telah dilaksanakan di pelbagai daerah di Sarawak, melibatkan lebih 1,100 peserta daripada kalangan ketua masyarakat dan ketua kaum.

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr. Juanda Jaya berkata MIKM merupakan inisiatif strategik kerajaan negeri dalam membudayakan nilai amanah, akauntabiliti dan tadbir urus beretika di peringkat akar umbi.

“MIKM bukan sekadar kursus teori, tetapi gerakan besar untuk memperkukuh kepimpinan komuniti berasaskan integriti,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN Stakan), Datuk Hamzah Brahim pula berkata, integriti adalah ‘jantung’ kepada pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).

Katanya, integriti mesti menjadi nadi yang memastikan Sarawak terus maju, makmur dan beretika.