Kerjasama Sarawak–Singapura buka peluang pendidikan alam sekitar

KUCHING: Sarawak dan Singapura bakal menjalinkan kerjasama strategik bagi memperkukuh pendidikan alam sekitar dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, inisiatif tersebut dirancang bagi memberi pendedahan kepada generasi muda Singapura tentang keindahan serta kepentingan ekosistem hutan tropika di negeri ini.

Beliau menjelaskan, cadangan berkenaan dibangkitkan semasa pertemuannya dengan Timbalan Perdana Menteri Singapura, Gan Kim Yong, yang menyatakan minat untuk mewujudkan program pertukaran pelajar antara kedua-dua pihak.

“Singapura tidak mempunyai hutan semula jadi, maka program ini dapat memberi pengalaman langsung kepada pelajar mereka melihat sendiri flora dan fauna di habitat asal,” katanya pada Majlis Makan Malam Tahunan Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), malam tadi.

Abang Johari berkata, SFC akan memainkan peranan utama dalam berkongsi pengetahuan serta kepakaran tentang pemuliharaan hutan dengan pelajar dan tenaga pengajar dari Singapura.

Jelasnya lagi, kerjasama itu juga terbuka kepada pelajar antarabangsa yang bersekolah di republik tersebut bagi memperluas manfaat program berkenaan.

Beliau turut mencadangkan supaya Singapura menambah hak pendaratan penerbangan AirBorneo ke Sarawak bagi memudahkan pelaksanaan aktiviti pertukaran pelajar di masa hadapan.