KUCHING: Kerajaan Sarawak memperkenalkan pemetaan akademik antara universiti negeri, politeknik dan kolej vokasional.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, langkah itu bagi membuka laluan lebih mudah kepada pelajar menyambung pengajian ke peringkat ijazah.
“Sistem pindahan kredit yang lebih fleksibel akan membantu pelajar aliran teknikal dan vokasional melanjutkan pelajaran tanpa halangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Apresiasi dan Kecemerlangan Kolej Vokasional Matang di sini, hari ini.
Beliau berkata, dasar itu melengkapi Skim Pendidikan Tertiari Percuma (FTES) di empat universiti negeri mulai tahun depan, iaitu UTS, Curtin Malaysia, Swinburne Sarawak dan ICATS University College dengan tumpuan kepada bidang STEM.
“Kerajaan juga menawarkan bantuan tambahan RM15,000 setahun kepada pelajar berpendapatan rendah bagi menampung sewa rumah dan elaun sara diri, menjadikan Sarawak negeri pertama melaksanakan dasar pendidikan percuma berskala besar,” katanya.
Dr Annuar menjelaskan, tumpuan turut diberikan kepada pembangunan TVET melalui pelaksanaan Dual Language Programme (DLP) dan Sistem Pendidikan Ekspres Sarawak (SEEP) untuk meningkatkan kualiti pembelajaran.
