DARO: Program Perkhemahan Bersepadu Unit Beruniform Peringkat Sekolah merupakan platform penting bagi membina sahsiah, disiplin dan semangat kepimpinan dalam diri pelajar.
Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata, pelajar mempunyai jati diri kukuh dan semangat juang tinggi mampu mencorak masa depan yang lebih baik melalui pendidikan.
Justeru, beliau menggesa pelajar tidak mudah berputus asa dan terus mengejar ilmu hingga ke menara gading.
“Ilmu adalah jambatan perubahan. Melalui pendidikan, kita dapat mengubah nasib keluarga, masyarakat dan bangsa,” katanya semasa menghadiri program tersebut yang diadakan Sekolah Kebangsaan Kampung Pangtray, Daro semalam.
Ahmad Johnie turut menghargai usaha guru yang berdedikasi mendidik pelajar luar bandar dengan penuh tanggungjawab dan kesabaran, serta berperanan penting dalam melahirkan generasi muda yang berdisiplin dan berwawasan.
Program perkhemahan ini melibatkan pelbagai aktiviti beruniform bertujuan memupuk nilai kerjasama, kepimpinan, ketahanan fizikal serta semangat cintakan sekolah dan negara.
