BINTANGOR: Suasana Pesta Meradong 2025 bertukar gamat apabila dua pemimpin utama kawasan, Dato Ir.Yusuf Abd Wahab dan Datuk Ding Kuong Hiing, bukan sahaja merasmikan majlis, malah turut menyahut cabaran Pertandingan Strongman yang menjadi tumpuan ramai.
Abdul Wahab, yang hadir berpakaian kemeja rasmi biru, secara spontan menyahut cabaran menterbalikkan tayar traktor gergasi aksi yang disambut dengan tepukan gemuruh penonton.
Beliau turut mendapat sokongan padu daripada Ding dan penganjur, sekali gus menjadikan suasana di tapak pesta semakin meriah.
Pertandingan Strongman itu menampilkan peserta berotot dari pelbagai kawasan yang memperagakan kekuatan fizikal dalam beberapa disiplin, termasuk Larian Membawa Tong dan Menarik Beban.
Para peserta diuji dengan membawa beban berat sambil berlari dan menarik sled menggunakan tali tebal, menarik perhatian penonton yang memenuhi tapak acara.
Kedua-dua wakil rakyat itu turut beramah mesra dengan pengunjung serta peserta, sekali gus menambahkan kemeriahan acara.
Acara yang menawarkan pelbagai trofi dan hadiah kepada pemenang itu berjaya menarik minat ramai, khususnya golongan belia, dan menjadi antara segmen paling meriah dalam Pesta Meradong 2025.
