Pembinaan kampus baharu i-CATS bermula tahun depan

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan membangunkan kampus baharu Kolej Universiti i-CATS seluas 250 ekar yang dijangka siap dalam tempoh empat tahun.

Apabila siap nanti, ia bakal menjadi kampus teknologi universiti tercanggih di rantau ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata projek bernilai RM300 juta itu akan dimulakan tahun hadapan bagi memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi dan melahirkan modal insan berkemahiran tinggi.

“Kampus baharu ini bukan sekadar pusat akademik, tetapi juga hab inovasi dan penyelidikan bagi menghadapi cabaran global,” katanya pada Istiadat Konvokesyen ke-27 Kolej Universiti i-CATS di Dewan Hikmah, Exchange Event Centre (HECC) hari ini.

Kampus baharu i-CATS itu dicadang dibina berhampiran Trombol, Telaga Air dengan peruntukan berjumlah RM300 juta dan akan menumpukan pada bidang strategik seperti aeroangkasa, tenaga boleh diperbaharui, hidrogen, automasi, hospitaliti dan teknologi pertanian.

Dengan jaringan antarabangsa bersama institusi di Turkiye, China, Australia dan Indonesia, i-CATS berperanan melahirkan tenaga profesional tempatan yang bersedia bersaing di peringkat global.

Seramai 465 graduan Kolej Universiti i-CATS diraikan pada Istiadat Konvokesyen ke-27 ini termasuk 104 graduan Ijazah Sarjana yang merupakan kohort pertama i-CATS.

Hadir sama Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat merangkap Pro Canselor Kolej Universiti i-CATS, Datuk Sri Roland Sagah Wee Inn; Pro Canselor Kolej Universiti i-CATS, Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain dan kenamaan lain.