BINTULU: Kerajaan Sarawak memperuntukkan sebanyak RM200,000 untuk menaik taraf sistem perparitan dan membina dua pembentung di Kampung Banyai, Jalan Ulu Segan di sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) DUN Jepak itu akan memberi manfaat kepada kira-kira 200 penduduk melibatkan 50 rumah.
“Melalui sokongan dan peruntukan yang disalurkan kerajaan negeri, kita dapat melaksanakan projek kecil berimpak besar seperti ini demi kepentingan masyarakat setempat,” katanya ketika ditemui selepas melawat tapak projek di Kampung Banyai, Jalan Ulu Segan, di sini, hari ini.
Beliau berkata, projek RTP itu akan menyelesaikan masalah banjir yang kerap melanda kampung terbabit yang sebelum ini sering terjejas akibat limpahan air ketika musim tengkujuh dan fenomena air pasang besar.
Projek itu di bawah kendalian Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Bahagian Bintulu sebagai agensi pelaksana bagi memastikan aliran air hujan dapat disalurkan dengan lebih lancar ke Sungai Segan.
“Projek ini merangkumi pembinaan dua pembentung baharu dan kerja-kerja penggalian semula parit utama menuju ke Sungai Segan.
“Dengan adanya tiga saluran keluar air baharu, masalah banjir dapat dikurangkan,” katanya.
Menurutnya, usaha menaik taraf sistem perparitan itu merupakan antara fokus utama kerajaan negeri bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus dijaga.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak atas kelulusan peruntukan RTP serta kepada DID dan kontraktor pelaksana atas komitmen mereka memastikan projek berjalan mengikut jadual.
