Penyalahgunaan akaun peribadi membimbangkan

SIBU: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh kesejahteraan rakyat melalui pelbagai inisiatif merangkumi kesedaran kewangan, keselamatan digital dan pembangunan sahsiah anak-anak bagi melahirkan masyarakat berilmu dan berdaya tahan.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, penyalahgunaan akaun peribadi semakin membimbangkan apabila individu sanggup menyewakan akaun bank kepada pihak tidak bertanggungjawab bagi transaksi haram.

“Tindakan ini boleh menyebabkan akaun disenarai hitam dan menjejaskan masa depan pemilik serta keluarga. Walaupun dijanjikan komisen, wang yang diperoleh bukanlah sumber halal,” katanya pada majlis penutupan Program Kesejahteraan dan Kesihatan Komuniti 2025, hari ini.

Menurutnya, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) giat memberi ceramah kesedaran kewangan bagi membantu rakyat merancang persaraan, manakala pendidikan kewangan turut diterapkan sejak peringkat awal kanak-kanak.

Katanya, penubuhan Pusat Sokongan Sosial Komuniti pula menyediakan platform aktiviti kesihatan fizikal, mental dan motivasi kepada masyarakat.

“Selain itu, kerajaan negeri memperkukuhkan dasar perlindungan kanak-kanak serta mempergiat program memperkasakan wanita berasaskan prinsip Kepelbagaian, Kesamarataan, Ekuiti dan Inklusiviti (D2EI),” ujarnya.

Fatimah sehubungan itu menasihatkan ibu bapa memantau aktiviti dalam talian anak bagi mengelakkan risiko keselamatan digital.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Datuk Rosey Yunus, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datu Felicia Tan Ya Hua dan Pengarah Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak, Salmah Jobeli.