Mangsa kebakaran Rumah Panjang James Kalip terima bantuan

BINTULU: Setiap komuniti rumah panjang dan kampung di kawasan Jepak di sini, dinasihat menubuhkan pasukan bomba sukarelawan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, langkah itu bagi membolehkan komuniti berkenaan bertindakan awal sebelum bantuan tiba jika berlaku kebakaran.

“Ini juga penting supaya penduduk mengetahui cara bertindak dengan lebih awal, sekurang-kurangnya membantu mengurangkan kerugian dan menyelamatkan nyawa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di lokasi kebakaran rumah panjang, James Kalip, Sungai Semanok, Jalan Pesisir Jepak–Kuala Tatau, hari ini.

Iskandar juga menasihatkan komuniti rumah panjang dan kampung di DUN Jepak agar sentiasa memeriksa serta menyelenggara sistem pendawaian elektrik di kediaman masing-masing.

“Dapatkan nasihat daripada Sarawak Energy Berhad (SEB) untuk melakukan pemeriksaan ke atas sistem pendawaian. Jika perlu, buat pendawaian semula bagi mengelakkan risiko kebakaran,” katanya.

Sementara itu, kebakaran itu memusnahkan rumah panjang James Kalip menyebabkan 120 penduduk kehilangan tempat tinggal awal tengah hari tadi.

Iskandar berkata tindakan pantas pasukan bomba dari Bintulu dan Tatau berjaya mengawal api dari merebak ke kawasan berhampiran.

Bomba kini sedang menyiasat punca sebenar kebakaran manakala polis , Pejabat Daerah Tatau, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pusat Khidmat ADUN Jepak menggerakkan bantuan kepada mangsa termasuk peruntukan membina semula rumah panjang yang musnah.

Iskandar juga mengarahkan Tuai Rumah James Kalip mengenal pasti pelajar yang akan menduduki SPM dan STPM serta penduduk yang mempunyai rekod kesihatan bagi memudahkan urusan penggantian dokumen dan bekalan ubat.