UNIMAS, MOF lawat projek Komuniti @ UniMADANI

KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) bersama Kementerian Kewangan (MOF) melawat Program Pendayaan Komuniti Universiti Awam (Komuniti @ UniMADANI) di Kampung Baru, di sini, hari ini.

Ia memberi peluang kepada wakil MOF meninjau kemajuan projek Komuniti @ UniMADANI: Waste to Wealth – Empowering Community Through Green Innovation yang diterajui oleh Pusat Kelestarian UNIMAS.

Projek berasaskan inovasi hijau ini mengitar semula minyak masak terpakai menjadi lilin dan sabun produk bernilai tambah, sekaligus membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar.

Selain itu, membuka peluang penjanaan pendapatan kepada komuniti setempat.

Ketua Projek, Profesor Dr. Zainab Ngaini dari UNIMAS berkata, sebanyak 80 peratus daripada keseluruhan projek berjaya disiapkan.

Peserta kini mula menikmati hasilnya dengan menjana lebih RM2,000 sebulan melalui aktiviti ekonomi berasaskan kitar semula.

“Projek ini membuktikan bahawa pendekatan ‘waste to wealth’ bukan sahaja menjaga kelestarian alam, tetapi turut mengubah kehidupan masyarakat luar bandar melalui peluang ekonomi baharu,” ujar beliau.

Pihak MOF memuji usaha UNIMAS itu dan lawatan berkenaan diakhiri dengan penyampaian cenderamata antara pihak Kementerian Kewangan, UNIMAS, dan komuniti Kampung Baru.