PRN Sabah: IPD Lawas hantar 20 anggota

LAWAS: Seramai 20 anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lawas berlepas ke Sabah hari ini bagi melaksanakan tugas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17.

Kontinjen tersebut terdiri daripada 18 anggota elemen Jaga Saluran dan dua anggota elemen Trafik, diketuai Sjn Nazarudin Suhaili.

Majlis pelepasan disempurnakan Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Tindan, di Dewan Serbaguna IPD Lawas, disertai simbolik penyerahan bendera Sang Saka Biru, nyanyian lagu rasmi Polis Diraja Malaysia, sesi bergambar serta flag-off konvoi.

Dalam ucapannya, Liong menekankan aspek kesiapsiagaan, disiplin, imej pasukan, keselamatan dan semangat berpasukan sepanjang penugasan, selain mengingatkan semua anggota agar menjaga integriti, mematuhi SOP dan mengelakkan sebarang perbuatan yang boleh menjejaskan nama baik pasukan.