Hamzah Brahim cadang Zaid Ibrahim disekat masuk Sarawak

KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan Datuk Hamzah Brahim menuntut tindakan undang-undang terhadap bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Zaid Ibrahim serta mencadangkan beliau disekat daripada memasuki Sarawak.

Hamzah menyifatkan kenyataan Zaid yang menggambarkan Sabah dan Sarawak “beban” kepada Malaysia sebagai berbahaya dan boleh mencetuskan ketegangan dalam Malaysia.

Justeru, beliau menggesa pihak berkuasa menggunakan Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 untuk menegakkan tindakan segera.

“Sumbangan Sabah dan Sarawak kepada negara melalui minyak, gas dan sumber asli terbukti besar, membolehkan pembangunan di Semenanjung, dan menolak pandangan Zaid yang dianggap menyimpang dari fakta sejarah,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, hari ini.

Timbalan Speaker Datuk Idris Buang turut menyokong langkah tegas itu terhadap Zaid.

Hamzah turut menggesa tindakan terhadap penyebaran naratif anti-Sarawak di media sosial, menggesa Kerajaan Persekutuan dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memantau kandungan berbentuk hasutan serta mengingatkan pihak tertentu agar memahami MA63 sebelum mengeluarkan kenyataan.