ADUN Tellian gariskan keperluan mendesak perkasakan pembangunan

KUCHING: Beberapa keperluan mendesak digariskan untuk tujuan pembangunan Sarawak khususnya Dewan Undangan Negeri (DUN) Tellian.

Keperluan itu termasuk infrastruktur, utiliti asas, pendidikan, kesihatan, telekomunikasi, pelancongan dan perumahan di kawasan itu bagi memastikan kebajikan rakyat terus diperkukuh selaras dengan hala tuju pembangunan Sarawak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, pembangunan jaringan jalan raya kekal menjadi keutamaan, termasuk menyegerakan projek jalan sepanjang 11 kilometer (km) dari Nanga Baoh ke Ulu Baoh yang bakal memanfaatkan kepada 25 rumah panjang.

Royston turut menzahirkan kebimbangan terhadap hakisan jalan raya di Bukit Inkerbai dan Lubok Bemban serta masalah jalan rendah yang sering ditenggelami air di Jalan Tingkas Sebakong.

“Saya mencadangkan penaiktarafan jalan ladang dari Selangau ke Ulu Dijih sehingga ke simpang Ulu Baoh, selain menaik taraf jalan kampung di beberapa lokasi seperti Kampung Petanak, Kampung Judan, Kampung Penat dan Kampung Tellian,” ujarnya.

Dalam aspek utiliti, beliau menggesa pelaksanaan segera Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Sg Arip, Ulu Baoh dan Sebakong, selain memohon kemaskini status bekalan air terawat di Bukit Inkerbai, Lubok Bemban dan Sebakong ke Nanga Sikat.

Royston meminta maklum balas berhubung permohonan projek ALAF dan RES bagi bekalan elektrik di seluruh kawasan Tellian, serta mencadangkan penggunaan sistem solar sebagai alternatif sementara.

Menyentuh pembangunan fizikal, beliau meminta laporan terkini mengenai pelaksanaan beberapa projek utama di Mukah termasuk Tebingan Sungai Mukah, pemuliharaan tebing Batang Mukah, pemasangan lampu isyarat pintar di persimpangan Jalan Wawasan–Setia 2, New Mukah Integrated Market, pengawalan hakisan pantai Petanak, Anjung Ria SENAGA dan Medan Selera Kala Dana.

“Saya memohon penjelasan berkaitan status permohonan Skim Pembesaran Kampung (SPK) baharu serta status penaiktarafan SPK sedia ada seperti SPK Penat, Judan dan Petanak termasuk keperluan jalan, parit serta bekalan air dan elektrik,” katanya.

Berhubung pendidikan, Royston meminta penjelasan berhubung format dan keputusan Ujian Penilaian Dual Language Programme (UP-DLP) pertama yang dilaksanakan di Sarawak serta hala tuju pemerkasaan program itu.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada JKR dan JPN Sarawak atas penyempurnaan bangunan bilik darjah baharu di SK Kampung Petanak dan SK Dua Sungai.

Dalam sektor kesihatan, beliau menggesa penambahbaikan kemudahan Hospital Mukah, Klinik Pergigian dan Klinik Ibu dan Anak, selain mencadangkan pewujudan jawatan pakar kanak-kanak secara tetap.

“Saya mencadangkan lebih banyak peluang pengajian sarjana disediakan kepada anak Sarawak bagi melahirkan pakar tempatan,” katanya.

Bagi telekomunikasi, Royston menarik perhatian mengenai gangguan rangkaian di Tellian dan meminta pihak berkaitan mengambil langkah proaktif menaiktaraf mutu perkhidmatan.

Dalam isu penyalahgunaan dadah, beliau meminta kerajaan melaksanakan strategi lebih holistik merangkumi pendidikan, pemulihan dan penguatkuasaan.

“Saya mengucapkan tahniah kepada PDRM Sarawak dan AADK atas pencapaian operasi sepanjang tahun,” katanya.

Royston turut memohon tindakan segera berhubung penyukatan tanah NCR di Nanga Baoh, Ulu Baoh, Bukit Inkerbai dan Sebakong selaras Seksyen 6 dan 18 Kanun Tanah Sarawak.

Beliau juga menekankan keperluan pelan mitigasi banjir jangka panjang bagi Mukah termasuk pembinaan dan naik taraf sistem saliran berikutan cabaran hakisan pantai, hakisan tebing sungai serta kenaikan paras laut.

Dalam aspek pelancongan, Royston berkata, peruntukan RM129 juta untuk infrastruktur dan RM194 juta untuk promosi pelancongan dalam Bajet 2026 perlu dimanfaatkan bagi memperkasakan industri pelancongan budaya di Tellian.

“Saya mencadangkan sokongan lebih besar kepada Lamin Dana, Mini Muzium Sapan Puloh, Batik Linut, terendak Melanau dan kraftangan tempatan sebagai produk pelancongan utama.

“Saya juga meminta penjelasan mengenai status pemindahan aset Kompleks Sukan Komuniti Mukah kepada MYSED, manakala dalam sektor industri sagu, Royston memohon penjelasan perancangan Lembaga Kemajuan Sagu dan Nipah untuk memajukan industri itu secara mampan,” kata beliau.

Beliau juga menyuarakan isu beberapa kawasan perumahan di Tellian yang belum menerima surat hak milik walaupun bayaran rumah telah diselesaikan serta masalah projek perumahan yang lewat disiapkan.