KUCHING: Industri pelancongan di negeri ini terus menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila mencatatkan 4.01 juta pelawat berkunjung ke Sarawak mulai Januari hingga Oktober tahun ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, angka itu meningkat 0.7 peratus berbanding tempoh sama pada 2024 sungguhpun menempuhi cabaran disebabkian krisis geopolitik.
Kedatangan pelancong itu membolehkan Sarawak menjana pendapatan RM10.22 bilion, katanya semasa menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini.
Beliau berkata, ASEAN kekal sebagai pasaran utama pelancongan dengan Brunei dan Indonesia menyumbang jumlah kedatangan pelancong paling ramai ke Sarawak.
Brunei dengan jumlah seramai 1,306,566 pelancong (32.6 peratus) diikuti Indonesia sejumlah 583,568 (14.5 peratus) daripada 4.01 juta pelancong yang melawat negeri ini, katanya.
Abdul Karim berkata, negara-negara lain ialah China berjumlah 58,822 pelancong, Singapura (52,406), Filipina (39,284) dan pelancong domestik (Malaysia) 1,769,561 atau 44.1 peratus.
Beliau menegaskan, untuk tahun 2025 kementeriannya menyokong sejumlah 351 acara dan festival sebagai daya penarik kedatangan pelancong ke Sarawak.
Antara acara itu ialah Regata Perahu Naga Antarabangsa Sarawak Ke-11, Anugerah dan Festival Filem Antarabnagsa ASEAN (AIFFA) Ketujuh Samarahan Bike Challenge, Pesta Babulang dan Lumba Kerbau Limbang dan Festival Kebudayaan Borneo, katanya.
Abdul Karim berkata, kementeriannya akan terus melaksanakan projek utama untuk memacu dan meningkatkan industri pelancongan melalui produk nilai tambah.
Di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13), beliau berkata, kementeriannya akan memberi keutamaan kepada projek berkaitan dengan pelancongan termasuk membangun Pusat Kraf Sarawak, Memperkasa Tebingan Kuching, Muzium Warisan Melayu Darul Hana, Galeri Seni Sarawak, Muzium Melombong Emas Bau, Hutan Bakau Sadong Jaya dan Mentransformasi Muzium Petrolium Miri.
