KUCHING: Sarawak mencatat 17,847 kemalangan jalan raya antara Januari hingga Oktober lalu, termasuk 305 kematian, 110 kes serius dan 213 kemalangan ringan, menurut Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin.
Beliau berkata, insiden ini menyebabkan seramai 749 mangsa cedera, 154 parah dan 259 cedera ringan.
“Kenderaan jenis kereta menjadi penyumbang utama, diikuti pacuan empat roda dan motosikal. Kawasan Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu mencatat kadar kemalangan tertinggi, dengan punca utama melibatkan pemanduan laju serta pelanggaran belakang dan sisi di persimpangan jalan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Lee menambah, keselamatan jalan raya hanya dapat dicapai melalui kesedaran pemanduan berhemah.
“Kementerian bersama polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan agensi berkaitan giat melaksanakan kempen keselamatan dan pendidikan, termasuk Pertandingan Lalu Lintas Sarawak (STG) dan program T-ABC, bagi meningkatkan kesedaran awam, terutamanya di kalangan pelajar.
“Bagi kenderaan komersial, pemasangan mandatori Speed Limitation Device (SLD) telah dikuatkuasakan, manakala tali pinggang keselamatan diwajibkan bagi bas ekspres dan bas pelancong,” katanya.
