KUCHING: Penerbangan sulung AirBorneo dijadual bermula Januari tahun depan, menandakan pengambilalihan keseluruhan perkhidmatan udara luar bandar (RAS) di Sarawak.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, berkata, laluan baharu ini juga merangkumi destinasi ke Labuan serta Sandakan dan Tawau di Sabah.
“Pada Januari, kami akan mengambil alih semua perkhidmatan udara luar bandar (RAS) merangkumi seluruh kawasan di Sarawak. Selain itu, penerbangan kami juga akan meliputi penerbangan ke Labuan serta ke Sabah, termasuk Sandakan dan Tawau,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas penggulungan kementeriannya dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 hari ini.
Dalam pada itu katanya, AirBorneo akan mengutamakan warga Sarawak untuk mengisi jawatan kosong dalam syarikat itu, termasuk peranan teknikal dan operasi, sebaik sahaja pengambilalihan MASwings selesai.
Beliau turut mengesahkan bahawa semua kakitangan MASwings akan diserap secara automatik ke AirBorneo, kecuali mereka yang memilih untuk tidak menyertai, bagi memastikan operasi syarikat berjalan lancar tanpa kehilangan pekerjaan.
