Transformasi digital Sarawak bantu tingkatkan jaringan pendidikan luar bandar

KUCHING: Usaha Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) memperkenalkan Jaringan Jalur Lebar Luar Bandar Sarawak (SRBN) meningkatkan akses pendidikan pelajar terutama di pedalaman.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pelaksanaannya itu membuka peluang pembelajaran lebih luas kepada sekolah luar bandar, sekali gus membantu meningkatkan prestasi akademik pelajar.

“Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Temenggong Oyong Lawai Jau di Long San contohnya, menunjukkan peningkatan keputusan peperiksaan serta kejayaan pelajarnya melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

“Mereka sangat menghargai inisiatif SRBN yang memberi akses kepada platform seperti Khan Academy, terutamanya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Ini jelas membuktikan keberkesanan program berkenaan,” katanya pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Kelima SDEC di sini, malam tadi.

Turut hadir, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Liwan Lagang, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapa’ee, Pengerusi SDEC Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani serta tetamu kenamaan lain.

Menurut Premier, kesan positif pendigitalan tidak hanya terhad kepada pendidikan, malah turut merangkumi pembangunan infrastruktur, sektor pertanian dan ekonomi negeri.

Beliau menjelaskan bahawa penggunaan teknologi digital telah membantu dalam perancangan projek infrastruktur, termasuk pembinaan jalan bertingkat bagi mengurangkan kos penyelenggaraan jangka panjang.

“Kita membina jalan bertingkat di beberapa kawasan seperti Lingga, Kota Samarahan hingga ke Sri Aman, selain di Baram, Miri, Marudi, Mulu, Long Panai, Long San, Long Lama hingga ke Limbang. Kawasan-kawasan ini mempunyai tanah yang sangat lembut, jadi struktur bertingkat dapat meningkatkan kestabilan dan mengurangkan kos jangka panjang,” jelasnya.

Dalam sektor pertanian, kata beliau, digitalisasi membantu meningkatkan hasil tuaian dan mampu memberi pendapatan lebih baik kepada petani.

Tambahnya, ekonomi digital juga mengangkat nama Sarawak di peringkat global melalui pembangunan cip KETEQ.AI serta pengeluaran tenaga boleh diperbaharui.