KUCHING: Buku biografi “Abang Johari: Sarawak’s First Premier” hasil karya Profesor Michael B. Leigh dari Universiti Sydney, Universiti Melbourne dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), dilancarkan hari ini. Karya tersebut diterbitkan oleh Dayak Cultural Foundation (DCF).
Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar merakamkan penghargaan kepada DCF atas inisiatif menerbitkan biografi berimpak besar itu. Beliau turut memuji dedikasi Profesor Leigh yang mempunyai rekod kajian panjang dalam landskap politik dan sosial Sarawak sejak tahun 1960-an.
Menurut Tun Wan Junaidi, biografi tersebut bukan sahaja menjadi catatan sejarah penting, malah berperanan sebagai rujukan untuk memahami arah tuju pembangunan negeri.
“Dokumentasi kehidupan dan kepimpinan Premier Sarawak ini menggambarkan perjalanan penuh visi, dedikasi dan komitmen tinggi terhadap kemajuan Sarawak,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran buku berkenaan.
Majlis yang berlangsung di DCF itu turut dihadiri Premier Sarawak. Turut hadir, isteri Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi; anakanda Premier Sarawak, Dayang Norjihan; Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian; serta Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar.
Hadir sama mantan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam dan isteri, Datin Patinggi Puan Sri Datuk Wira Lorna Enan Muloon Chan; mantan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang dan isteri, Tan Sri Dato’ Sri Empiang Jabu; Pengerusi Yayasan Tun Jugah merangkap Pemegang Amanah Pengurusan DCF, Datuk Patinggi Tan Sri Leonard Linggi; Menteri-menteri Kabinet Negeri serta Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
