KUCHING: Syarikat penerbangan milik Sarawak, AirBorneo, bakal memulakan operasi penerbangan menggunakan pesawat jet bermula Julai tahun depan, sekali gus menandakan fasa baharu dalam pembangunan rangkaian pengangkutan udara negeri itu.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata AirBorneo yang dijadual memulakan operasi pada Januari 2026 akan terlebih dahulu menggunakan pesawat ATR dan Twin Otter sebelum beralih kepada armada jet.
“Walaupun AirBorneo menggunakan pesawat ‘propeller’ pada peringkat awal, namun pada Julai nanti kita akan memulakan ‘jet operation’,” katanya.
Beliau membuat pengumuman itu pada Majlis Makan Malam Korporat Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) di sini, malam tadi.
Abang Johari menjelaskan, penggunaan pesawat jet penting bagi memenuhi keperluan memperluas laluan penerbangan antarabangsa secara terus, termasuk ke Singapura.
“Ia merupaka hasil persetujuan yang dicapai dalam pertemuan beliau dengan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, semalam.
“Kita mahu terbang terus ke Singapura, dan Perdana Menteri mereka bersetuju. Pada masa sama, kita juga merancang membuka laluan ke Pulau Jeju, Korea, bagi menghubungkan geopark di kedua-dua wilayah,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau turut memberi bayangan mengenai identiti kru kabin AirBorneo yang dijangka menampilkan pakaian seragam berunsurkan budaya Sarawak, sekali gus mempromosikan keunikan warisan negeri di persada antarabangsa.
Pada majlis sama, Abang Johari menerima anugerah ‘Recognition of Visionary Excellence’, sebagai pengiktirafan tertinggi atas kepimpinan transformatif dan wawasan strategiknya dalam menerajui pembangunan ekonomi Sarawak.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; Setiausaha Kewangan Sarawak Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar; Peguam Besar Sarawak Dato Sri Saferi Ali; barisan Timbalan Menteri Sarawak; Pengerusi SEDC Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Dato Husain; Pengurus Besar SEDC Datu Abdul Hadi Datuk Abdul Kadir.
