MUKAH: Kerja-kerja baik pulih sementara Jambatan Kuala Petanak yang mengalami kerosakan dilakukan pada hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata jambatan tersebut merupakan jambatan utama menghubungkan Daerah Mukah dan Daerah Dalat.
“Saya menerima aduan melalui whatapps malam tadi yang menyatakan jambatan ini mengalami kerosakan sehingga menimbulkan kerisauan pengguna,” katanya.
Royston berkata, aduan itu telah disampaikan terus kepada Jurutera Bahagian Jabatan Kerja Raya (JKR) Mukah dan pihak berkaitan mengambil tindakan lanjut sebagai langkah penyelesaian jangka pendek terhadap masalah ini.
Beliau juga telah meninjau kerja-kerja baik pulih jambatan terbabit selepas mengadakanperbincangan di Pusat Khidmatnya.
“Terima kasih atas tindakan yang sangat proaktif JKR, PJP BARISAN dan kerjasama penduduk,” tambahnya.
