Pengambilalihan tiga entiti bakal selesai tahun ini, lengkapi ekosistem ekonomi Sarawak

KUCHING: Kerajaan Sarawak dijadual mengambilalih Pelabuhan Bintulu, sebuah syarikat penerbangan dan bank komersial dalam tahun ini bagi melengkapkan ekosistem eknomi negeri.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pengambilalihan Pelabuhan Bintulu dan sebuah syarikat penerbangan daripada Kerajaan Persekutuan secara rasminya pada Jun tahun ini.

Manakala rundingan mengenai pengambilalihan bank komersial terbabit telah selesai dan hanya menunggu masa secara rasmi, katanya kepada media selepas Majlis Konvokesyen Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) Kelapan di CENTEXS, Santubong di sini.

Syarikat penerbangan yang dimaksudkan ialah MASwing manakala bank komersial ialah Affin Bank.

Sejurus Kerajaan Sarawak berjaya mengambilalih ketiga-tiga entiti tersebut tahun ini, katanya, ekosistem ekonomi negeri ini lengkap untuk membolehkan Sarawak muncul sebagai negeri berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030.

Menurut Abang Johari, apabila Sarawak memiliki syarikat penerbangan sendiri mudah untuk mengurus sistem perhubungan ke wilayah lain memandangkan Sarawak terletak dalam sebuah pulau.

Mengenai Affin Bank, katanya, Sarawak berhasrat untuk menjadi salah sebuah entiti memiliki saham terbesar dalam bank terbabit dan bukan untuk mengambilalih secara keseluruhannya.

Jumlah saham yang harus Sarawak miliki dalam bank berkenaan bergantung kepada keputusan Bank Negara, tegas beliau dan menambah, cadangan Sarawak untuk memiliki saham lebih besar dalam bank itu adalah bagi membantu membangunkan industri kecil dan sederhana (SME) serta sektor lain.

Hadir sama Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi II Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr. Hazland Abg Hipni, Pengerusi CENTEXS, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani dan Ketua Pegawai Eksekutif, Dato Syeed Mohd Hussien Wan Abdul Rahman serta ahli lembaga pengarah.