DEBAK: Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) akan membina tiga lagi pusat hemodialisis di Spaoh, Beladin dan Kabong sebagai usaha mengurangkan kesesakan di Hospital Betong dan Pusat Hemodialisis Debak.
Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, perkara itu telah diputuskan dalam mesyuarat BDDA, baru-baru ini.
Menurut Uggah yang juga Pengerusi BDDA, setiap pusat hemodialisis yang dianggarkan menggunakan kos sebanyak RM5 juta itu akan dibina dalam tahun ini.
“Agensi (BDDA) akan membayar kos untuk pembinaan dan peralatan atau mesin yang diperlukan bagi mempertingkat fasiliti yang sedia ada di Debak.
“Apabila semua pusat ini beroperasi, ia akan mengurangkan kesesakan di Hospital Betong dan Pusat Hemodialisis Debak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan ceramah motivasi pendidikan ibu bapa dan ahli persatuan ibu bapa – guru dari tujuh sekolah rendah di sini semalam.
