KUCHING: Kerajaan Sarawak akan menerima sebuah kereta hidrogen daripada syarikat pengeluar kenderaan terkemuka iaitu BMW.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata syarikat itu hendak memberikan kereta hidrogen model BMW 5 Series terbabit kepada Putrajaya tetapi di sana tidak mempunyai hidrogen.
“Oleh itu, mereka akan hantarkan kereta itu ke Kuching dan memberikan kita di Kuching yang menggunakannya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutupan Jabatan Tanah dan Survei (LANDAS) Summit 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching malam tadi.
Abang Johari berkata ini menunjukkan semakin banyak syarikat yang mula beralih ke tenaga hidrogen kerana tenaga yang paling bersih.
Turut hadir Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah Dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh.
GAMBAR: JABATAN PREMIER SARAWAK
