KAPIT: Penganjuran Youth Enterprenuer Setup (YES) oleh Kementerian Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) merupakan usaha bagi membudayakan keusahawanan dalam kalangan belia di negeri ini.
Timbalan Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Dr. Ripin Lamat berkata, keusahawanan merupakan komponan strategik dalam memacu wilayah dan negara ini menjadi maju dan berdaya saing.
Katanya, ia juga pendekatan sosial negara untuk keluar daripada perangkap pendapatan pertengahan.
“Bidang ini menjadi penyumbang kepada pembangunan sosioekonomi dan produktiviti negara serta meningkatkan lagi taraf dan kualiti hidup rakyat di Sarawak dan Malaysia amnya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada taklimat serta bengkel Youth Enterprenuer Setup ‘YES’ Kapit 2024 di Dewan Suarah Kapit, semalam.
Kapit tentunya tidak ketinggalan dalam pembangunan Sarawak dan ini terbukti dengan pembinaan jalan raya menghubungkan Sibu-Kapit sejauh 176 kilometer (km) dilancarkan 2020, katanya.
“Kesan dari pembangunan tersebut telah merubah landskap Kapit dan peningkatan taraf sosioekonomi penduduknya serta turut memberikan impak kepada pekan-pekan pesisir Sungai Rajang seperti Kanowit, Ngemah dan Song,” katanya.
Lebih 200 belia menyertai bengkel yang diadakan bermula 3 hingga 4 Februari 2024.
