Atlet Para Sarawak peroleh tujuh emas di Para ASEAN

KUCHING: Kerajaan Sarawak sedia mempertimbangkan insentif kepada atlet para Sarawak yang menyumbang pingat kepada kontinjen negara pada Sukan Para ASEAN ke-13 di Nakhon Ratchasima, Thailand.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata perkara tersebut akan dipertimbangkan setelah mengambil kira keputusan serta ganjaran yang ditetapkan di peringkat kebangsaan.

Bercakap pada sidang media di Bangunan Baitulmakmur II, di sini, semalam, Fatimah berkata sasaran pungutan pingat emas bagi atlet Sarawak ialah sebanyak 15 pingat dan mereka sudah meraih tujuh pingat emas dari keseluruhan sebanyak 17 pingat emas diperolehi kontinjen negara setakat ini.

Menurut beliau, pencapaian itu direkodkan menerusi acara utama termasuk olahraga, para renang, tenpin boling, ping pong dan powerlifting.

“Selain pingat emas, atlet Para Sarawak turut menyumbang enam pingat perak dan tiga pingat gangsa kepada negara,” tambahnya.

Fatimah memaklumkan bahawa seramai 31 atlet para dari Sarawak telah dipilih menyertai kontinjen Malaysia daripada keseluruhan seramai 222 atlet.

Secara keseluruhan, kontinjen Malaysia kini berada di kedudukan ketiga carta pungutan pingat dengan 17 pingat emas, 21 pingat perak dan 31 pingat gangsa, di belakang tuan rumah Thailand dan Indonesia.