Pelajar asnaf terima bantuan Program Jom Ke Sekolah Parlimen Samarahan

KOTA SAMARAHAN: Seramai 500 pelajar golongan asnaf menerima manfaat menerusi Program Jom Ke Sekolah (JKS) Parlimen Samarahan Tahun 2026 anjuran Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Yayasan RISDA.

Program yang melibatkan 45 sekolah itu berlangsung di Dewan Suarah Kota Samarahan semalam dengan matlamat memastikan persediaan persekolahan pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan tidak terjejas.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Rubiah Wang berkata, program berkenaan memperlihatkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan akses pendidikan yang adil dan inklusif.

Menurutnya, bantuan itu bukan sahaja meringankan beban kewangan ibu bapa, malah memberi motivasi kepada pelajar untuk terus menumpukan perhatian terhadap pelajaran.

“JKS 2026 membantu 500 pelajar asnaf dari 45 sekolah supaya persediaan persekolahan mereka tidak terganggu, selaras dengan keutamaan terhadap pendidikan anak-anak,” katanya.

Beliau turut memaklumkan kerajaan terus memperkukuh sektor pendidikan melalui Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah RM150 serta peruntukan RM1 bilion bagi menaik taraf sekolah daif.

Selain itu, inisiatif seperti Program Sekolah Angkat MADANI dan Program Tuisyen Rakyat RISDA turut dilaksanakan bagi meningkatkan kualiti pendidikan, khususnya di luar bandar.