KUCHING: Rundingan mengenai penambahbaikan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) masih terus berjalan, termasuk cadangan untuk menyusun semula jawatankuasa teknikal di peringkat pelaksanaannya dan usaha menambah kerusi Parlimen bagi negeri Sabah dan Sarawak, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof.
Fadillah berkata, perbincangan mengenai peningkatan jumlah kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak masih berada pada tahap perundingan dan belum dimuktamadkan kerana melibatkan tafsiran perundangan serta aspek Perlembagaan Persekutuan yang kompleks. 
Menurutnya, Kerajaan Persekutuan dan negeri bersetuju secara prinsip bahawa penambahan kerusi Parlimen adalah wajar, namun untuk merealisasikannya perlu melalui rundingan lanjut dan proses perundangan yang betul sebelum dibawa ke Dewan Rakyat.
“Cabaran terbesar adalah keperluan mendapatkan majoriti dua pertiga sokongan ahli Parlimen untuk sebarang pindaan Perlembagaan yang membabitkan penambahan kerusi,” katanya.
Beliau berkata selepas kepada media merasmikan Anugerah Kebangsaan Shell LiveWire Malaysia 2025 di sini, hari ini.
Situasi ini menjadikan prosesnya lebih rumit dan memerlukan libat urus meluas. 
Beliau menjelaskan, bahawa walaupun perubahan sejumlah kerusi di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak telah diluluskan, sebarang penambahan kerusi di peringkat Parlimen tetap memerlukan kelulusan Parlimen. 
Dalam usaha memperkukuh pelaksanaan MA63, cadangan untuk menyusun semula Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) juga dibawa ke meja rundingan.
Ini bertujuan memperbaiki mekanisme pengurusan dan mempercepatkan keputusan teknikal yang melibatkan pelbagai kementerian dan agensi. 
Matlamat penyusunan semula jawatankuasa itu untuk memastikan wakil entiti penting seperti Kementerian Kewangan, Unit Perancangan Ekonomi (EPU), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan agensi lain dapat terlibat lebih awal dalam perbincangan teknikal yang kritikal. 
Fadillah turut memberi jaminan bahawa rundingan yang lebih terperinci akan diteruskan melalui mesyuarat teknikal dan kemudian dibawa ke peringkat tertinggi Majlis MA63 sebaik sahaja jadual mesyuarat dapat diputuskan. 
Beliau juga mengulas bahawa isu autonomi dalam sektor seperti kesihatan, yang turut dibangkitkan oleh kerajaan negeri Sarawak sebelum ini, akan diperincikan dalam sesi mesyuarat teknikal akan datang. 
Isu penambahan kerusi Parlimen ini dilihat sebagai sebahagian daripada aspirasi Sabah dan Sarawak untuk mendapatkan perwakilan yang lebih adil di Parlimen dan meningkatkan peranan negeri dalam menentukan dasar persekutuan selaras dengan semangat MA63. 
