KOTA KINABALU: Sarawak akan terus menambah kapasiti penjanaan elektrik melalui Projek Hidroelektrik Baleh dan projek tenaga solar terapung menjelang tahun 2030.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Projek Hidroelektrik Baleh itu akan menambah kapasiti penjanaan elektrik sebanyak 1,285 megawatt dan dijadual mula beroperasi menjelang 2030.
“Ini menjadikan jumlah keseluruhan kapasiti hidroelektrik Sarawak sebanyak 4,843 megawatt apabila digabungkan dengan kapasiti sedia ada sebanyak 3,558 megawatt menjelang tahun tersebut,” katanya.
Abang Johari berkata demikian ketika Majlis Pengoperasian Projek Interkoneksi Grid Kuasa Sarawak-Sabah, di sini, hari ini.
Beliau berkata, Sarawak juga sedang meneroka pembangunan projek tenaga solar terapung secara berperingkat di empangan sedia ada.
“Ini bagi meningkatkan kapasiti penjanaan kepada 10 gigawatt menjelang 2030 dan 15 gigawatt menjelang 2035,”tambahnya.
Menurutnya, pencapaian ini menandakan kesediaan Sarawak untuk memainkan peranan lebih besar dalam pembangunan tenaga serantau.
Katanya, antaranya Sarawak dan Brunei telah bersetuju secara prinsip untuk membangunkan interkoneksi tenaga bagi eksport elektrik sekitar tahun 2030.
Selain itu kelulusan bersyarat bagi Projek Interkoneksi SarawakâSingapura membuka laluan kepada eksport sehingga satu gigawatt tenaga boleh diperbaharui ke Singapura, katanya.
Beliau berkata, operasi itu dijangka bermula pertengahan tahun 2030 atau lebih awal dan kajian kebolehlaksanaan juga sedang dijalankan bagi interkoneksi yang serupa ke Semenanjung.
