KOTA KINABALU: Projek Penyambungan Grid Kuasa Sarawak-Sabah menjadi pencapaian penting dalam landskap tenaga serantau yang akan merealisasikan visi Grid Borneo.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, projek tersebut merupakan pelaburan strategik jangka panjang untuk mempertingkat daya tahan tenaga, memperkukuh kerjasama antara negeri dan menyokong pertumbuhan mampan Sarawak, Sabah dan wilayah Borneo secara keseluruhan.
Jelas Premier, selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) Sarawak 2030, projek sambungan antara Sarawak-Sabah menyokong pembangunan ekonomi yang inklusif dan mampan di samping memperkukuh kebolehpercayaan elektrik dan menyokong aktiviti ekonomi di kedua-dua negeri.
“Pada masa sama, ia memajukan objektif Dasar Peralihan Tenaga Sarawak (SET-P) dengan membolehkan Sarawak berkongsi sumber tenaga boleh diperbaharuinya, menyumbang kepada campuran tenaga yang lebih seimbang dan rendah karbon untuk rantau ini.
“Di peringkat kebangsaan, projek ini menyumbang secara bermakna kepada matlamat peralihan tenaga Malaysia, memperkukuh keselamatan tenaga negara dan menunjukkan bagaimana kerjasama peringkat negeri menyokong matlamat kemampanan jangka panjang yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NET-R),” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Perasmian The Energisation Of The Sarawak-Sabah Power Grid Interconnection Project di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, di sini, hari ini.
Melangkaui Borneo, projek ini kata Premier menyumbang secara langsung kepada realisasi Grid Kuasa ASEAN, rangkaian serantau yang dibina atas dasar kebolehpercayaan, manfaat bersama dan kemakmuran bersama.
Dengan menyediakan tulang belakang fizikal dan operasi, projek ini meletakkan Sarawak dan Sabah sebagai penyumbang utama kepada masa depan tenaga lestari ASEAN dan sebagai model bagaimana inisiatif sub-nasional dapat menyokong keselamatan dan kemampanan tenaga serantau, kata Premier.
“Dengan ASEAN bergerak ke arah sistem kuasa yang bersepadu sepenuhnya, keterhubungan seperti ini akan menjadi penting untuk memudahkan perdagangan elektrik, mengimbangi penawaran dan permintaan, dan menyokong landskap tenaga rendah karbon dan dipacu boleh diperbaharui,” tambah Premier lagi.
Melangkah ke hadapan, Sarawak katanya kekal komited terhadap perancangan tenaga strategik yang memacu pembangunan mampan, memperkukuh kerjasama serantau dan meningkatkan daya saing ekonomi jangka panjang.
Projek yang memulakan operasinya pada 13 Disember 2025 itu menyaksikan
pengoperasian talian sambung tara 275kV dari Sarawak ke Sabah.
Hadir sama menyaksikan detik bersejarah itu Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy dan Petros) Datuk Ibrahim Baki serta delegasi Kerajaan Sabah dan Sarawak.
