Usahawan pemacu kemajuan masyarakat – Fadillah

KUCHING: Keusahawanan kini bukan lagi sekadar satu pilihan, sebaliknya menjadi keperluan dalam usaha membina masa depan negara yang mampan dan berdaya saing, kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Amar Fadillah Yusof.

Beliau yang juga Ahli Parlimen P.194 Petra Jaya berkata, usahawan masa kini memainkan peranan yang lebih luas melangkaui penciptaan perniagaan semata-mata, malah turut berfungsi sebagai penyelesai masalah, pencipta peluang pekerjaan dan pemacu kemajuan masyarakat.

“Keusahawanan bukan lagi pilihan, tetapi satu keperluan dalam membina masa depan negara. Usahawan hari ini adalah agen perubahan yang membawa impak besar kepada pembangunan ekonomi dan sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Anugerah Kebangsaan Shell LiveWire Malaysia 2025 di sini, hari ini.

Ia adalah sebuah program pembangunan keusahawanan anjuran Shell Malaysia yang bertujuan memupuk inovasi serta menyokong pertumbuhan usahawan tempatan, khususnya golongan muda.

Program berprestij itu dilaksanakan dengan kerjasama Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS), dan disifatkan sebagai contoh terbaik kerjasama strategik antara sektor awam dan swasta dalam membangunkan ekosistem keusahawanan yang inklusif dan mampan.

Sehubungan itu, Fadillah memuji komitmen berterusan Shell Malaysia serta inisiatif pembangunan oleh TEGAS yang membuka lebih banyak peluang kepada usahawan dan startup dari pelbagai latar belakang.

“Kerjasama erat seperti ini membuktikan bahawa solidariti dan kepercayaan antara sektor awam dan swasta mampu melahirkan ekosistem keusahawanan yang kukuh dan berdaya tahan,” ujarnya.

Beliau menambah, platform seperti Shell LiveWire memberi ruang luas kepada idea-idea berani dan inovatif, sekali gus membuktikan bakat boleh muncul dari mana-mana dan anak muda berupaya memimpin perubahan sekiranya diberikan peluang, sokongan serta kepercayaan.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa usahawan dan startup agar terus membina keupayaan diri dengan integriti, berinovasi secara berfokus dan memimpin dengan penuh tanggungjawab.

“Idea anda penting, kegagalan adalah pelajaran, dan perjalanan keusahawanan membawa makna yang besar. Kejayaan sebenar bukan diukur sejauh mana kita melangkah, tetapi sejauh mana kita mampu membawa orang lain bersama,” katanya.

Majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian anugerah kepada para pemenang Shell LiveWire Malaysia 2025.

Sementara itu, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh, menyatakan bahawa program Shell LiveWIRE di Sarawak kini memasuki tahun kesembilan pelaksanaannya dan telah memberi impak besar kepada pembangunan bakat serta inovasi tempatan.

Beliau yang juga Pengerusi TEGAS juga berkata, kerjasama berterusan antara TEGAS dan Shell Malaysia membuktikan komitmen bersama dalam memperkasa usahawan Sarawak melalui latihan, bimbingan, program pecutan dan jaringan industri.