LUMUT: Nama pahlawan dari Sarawak, Sharif Mashor yang pernah bangkit mempertahankan maruah bangsa dan tanah air diabadikan pada Kapal Tempur Pesisir 3 negara.
Detik penuh bersejarah dalam industri pertahanan negara itu berlangsung di Limbungan Lumut Naval Shipyard Sdn. Bhd. (LUNAS), Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini hari ini, sekali gus melambangkan penghargaan terhadap jasa tokoh tempatan yang menjadi inspirasi keberanian dan kedaulatan.
Simbolik pelancaran Kapal Tempur Pesisir 3 Sharif Mashor disempurnakan isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi selaku Lady Sponsor dan disaksikan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Turut hadir barisan kenamaan termasuk Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain, waris Sharif Mashor Wan Ahmad Makki Mashor Wan Abu Bakar Edruce, serta dif-dif kenamaan lain.
Majlis dimulakan dengan bacaan ayat suci al-Quran daripada Surah Al-Baqarah ayat 164 oleh Komander TLDM dari KD PELANDOK, Mohd Shamram Ramli, diikuti bacaan doa oleh Kolonel Markas Tentera Laut, Ahmad Kamil Abdullah, yang menyuntik elemen kesyukuran dan keberkatan ke dalam acara berkenaan.
Pengisian majlis diteruskan dengan deklamasi sajak yang menghayati sejarah perjuangan Sharif Mashor oleh Azamin Itam, diiringi persembahan pantomim oleh Pasukan Khas Laut TLDM (PASKAL) bertajuk Parang Ilang, yang menggambarkan semangat kepahlawanan, pengorbanan dan kesetiaan kepada tanah air.
Toh Puan kemudiannya menyampaikan lafaz pelancaran, diikuti simulasi penolakan Engine Order Telegraph (EOT) sebagai simbolik pelancaran rasmi, disusuli beberapa letupan kecil, pembunyian foghorn serta nyanyian lagu Samudera Raya oleh Pancaragam Pusat TLDM.
Kapal Tempur Pesisir 3 merupakan kapal kelas Maharaja Lela yang dibina berasaskan reka bentuk korvet Gowind 2500 oleh Naval Group, dan menjadi antara aset paling canggih dalam armada TLDM, direka untuk melaksanakan operasi maritim empat dimensi merangkumi peperangan permukaan, bawah permukaan, udara dan peperangan elektronik.
Sebagai aset strategik terkini, kapal tersebut dijangka memperkukuh agenda pemodenan armada TLDM secara menyeluruh, selaras dengan aspirasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke arah pembangunan Angkatan Masa Hadapan (AMH) serta Pelan Transformasi TLDM Fifteen-to-Five (15-to-5) demi memastikan keselamatan perairan dan kedaulatan negara terus terpelihara.
