Sarawak tuan rumah persidangan antarabangsa, himpunkan 500 pakar kejururawatan bencana

KUCHING: Keperluan memperkukuh sistem pengurusan bencana di Sarawak semakin mendesak susulan peningkatan kejadian kecemasan yang tidak menentu sejak kebelakangan ini.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, negeri ini perlu meneliti dan menyesuaikan amalan terbaik dari negara yang mempunyai pengalaman luas dalam pengurusan bencana bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan.

“Pendekatan negara maju seperti Jepun yang menekankan latihan berterusan, penyelarasan antara agensi dan penglibatan komuniti boleh dijadikan panduan dalam membentuk sistem lebih berdaya tahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan Sarawak sebagai tuan rumah Persidangan Penyelidikan Antarabangsa Ke-9 Persatuan Kejururawatan Bencana Sedunia (WSDN) 2026 yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada 17 hingga 19 September ini.

Dr Sim berkata, persidangan tersebut dijangka menarik lebih 500 perwakilan dari seluruh dunia bagi berkongsi kepakaran dalam bidang kejururawatan bencana dan pengurusan kecemasan.

Tambahnya, penganjuran acara antarabangsa itu bukan sahaja memperkukuh jaringan kerjasama strategik, malah dijangka merancakkan ekonomi negeri serta menyokong agenda pembangunan sistem kesihatan yang lebih mampan dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.