Penduduk Kampung Sungai Mata nikmati bekalan air bersih

KOTA SAMARAHAN: Sebanyak 315 rumah di Kampung Sungai Mata kini menikmati bekalan air bersih dan terawat yang lebih stabil.

Ini susulan dua tangki air berkapasiti 38,000 liter sehari mula beroperasi sepenuhnya, sekali gus meningkatkan keselesaan dan kualiti hidup penduduk

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, setiap tangki berkapasiti 19,000 liter untuk kegunaan penduduk Kampung Sungai Mata sebagai penyelesaian kepada masalah yang dihadapi sebelum ini.

“Hari ini kita dapat menyaksikan dua tangki air dihantar ke Kampung Sungai Mata. Setiap tangki mempunyai kapasiti 19,000 liter, menjadikan jumlah keseluruhan 38,000 liter sehari khusus untuk 315 rumah di kampung ini.

“Saya difahamkan sistem ini sudah beroperasi dan menjadi projek perintis untuk menyelesaikan masalah bekalan air bersih dan air terawat di kampung terpencil serta rumah panjang,” katanya selepas lawatan kerja ke Kampung Sungai Mata hari ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang dan Timbalan Speaker DUN Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Dato Idris Buang atas inisiatif membantu membekalkan air bersih kepada penduduk sementara menunggu sistem tetap dilaksanakan.

Menurutnya, sistem tersebut diharap dapat menjadi sumber air terawat yang berkekalan kepada penduduk, selain meminta Sarawak Water memantau operasi secara berterusan bagi memastikan tiada lagi aduan daripada penghulu atau Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (KMKK).