KUCHING: Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 meletakkan Sarawak di landasan pertumbuhan mampan, dikuasakan oleh inovasi dan kreativiti serta menuju ke arah ekonomi berdaya tahan, makmur dan mesra alam.
Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, PCDS 2030 yang memberi tumpuan terhadap tenaga hijau dan boleh diperbaharui mampan, inovasi dan teknologi serta ekonomi digital.
Ia bertujuan mewujudkan visi Sarawak menjadi negeri dengan ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Dalam hal ini, beliau optimis terhadap kemakmuran Sarawak yang berterusan di bawah kepimpinan cemerlang Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan sokongan padu daripada ahli kabinet berdedikasi.
Ini dibuktikan dengan pendapatan Sarawak melonjak sebanyak RM13.3 bilion pada 2023, jumlah terbesar setakat ini hasil kepimpinan bijak Abang Johari.
“Saya benar-benar menghargai kepimpinan Datuk Patinggi Abang Johari dan penekanannya jelas dalam mencipta laluan ekonomi baharu untuk Sarawak,” katanya dalam Perutusan Tahun Baharu Cina 2024 di sini.
Beliau menjelaskan, kejayaan hasil pendapatan negeri tersebut membolehkan Kerajaan Sarawak tidak hanya membiayai program pembangunan tetapi juga berkongsi hasil dengan rakyat.
Malah katanya, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sarawak mencapai RM146 bilion pada 2023 menunjukkan keberkesanan dasar-dasar Kerajaan Sarawak dalam memacu kemajuan ekonomi.
Tun Dr. Wan Junaidi turut memberikan penghargaan kepada Mantan TYT, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang telah memainkan peranan penting dalam pembangunan holistik Sarawak selama 51 tahun perkhidmatan beliau dalam kerajaan.
