DARO: Kerajaan negeri akan terus memberikan penekanan serius terhadap langkah-langkah mengurangkan kemalangan jalan raya.
Ahli Parlimen Igan Ahmad Johnie Zawawi berkata, usaha yang gigih perlu dilaksanakan bagi menangani masalah keselamatan jalan raya ini.
Tegasnya, jika langkah-langkah pencegahan tidak diambil, kejadian kemalangan pasti akan terus meningkat.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Perayaan Tahun Baru Cina Bahagian Mukah Tahun 2024 di Perkarangan Rumah Kerehatan Kerajaan Daerah Daro, semalam.
Katanya, matlamat utama kempen ini ialah memberikan kesedaran keselamatan di jalan raya bagi mengurangkan kadar kemalangan serta kematian akibat kecuaian pemanduan.
“Pengguna jalan raya dinasihat mengamalkan pemanduan berhemah, merancang perjalanan, mengelakkan memandu secara tergesa-gesa dan memastikan kenderaan sentiasa baik sebelum memulakan perjalanan.
“Undang-undang, penguatkuasaan serta penganjuran kempen kesedaran keselamatan jalan raya tidak akan memberikan makna dan kesan sekiranya pengguna jalan raya masih mengamalkan sikap tidak berhemah, tidak berdisiplin dan beretika semasa menggunakan jalan raya,” menurut beliau.
Kempen itu dianjurkan Pejabat Residen Bahagian Mukah dan turut disertai beberapa agensi kerajaan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bomba, Angkatan Pertahanan Malaysia (APM), Jabatan Kesihatan, Pejabat Pendidikan Daerah Daro dan lain-lain agensi.
Ahmad Johnie turut mengagihkan risalah keselamatan dan cenderahati kepada pengguna jalan raya.
