Pemilik tanah terlibat projek bina jalan terima pampasan

SARATOK: Pemilik tanah terlibat projek pembinaan dan naik taraf jalan dari Kampung Kupang ke Simpang Bajau di sini menerima pampasan keseluruhannya berjumlah RM1.1 juta.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, seramai 163 pemilik tanah menerima pampasan terbabit.

Katanya mereka dari Kampung Kupang, Rumah Rabiah, Rumah Andrew Kulih, Rumah Patih, Rumah Rengan (Selambong), Rumah Ambang (Entebu Jaya) dan Rumah Anau (Entebu).

“Projek sepanjang 16.5 kilometer (km) membabitkan keluasan tanah 21.73 hektar melibatkan 275 lot,” katanya ketika merasmikan majlis penyerahan cek pampasan projek itu di Dewan Masyarakat Sri Krian, di sini, hari ini.

Mohamad Duri berkata, sebanyak 35 lot tanah berhak milik, 197 lot Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) dan 43 lot Tanah Rizab Komunal Bumiputera.

Turut hadir ialah Pemangku Pegawai Daerah Saratok, Laga Kueh, Penguasa Bahagian, Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Betong, TPr. Moris Nayup, Jurutera Jabatan Kerja Raya Daerah Saratok, Ts. Steward Ludan dan Pemanca Sahari Gani.