Kepelbagaian budaya, keharmonian kaum serlah keunikan Sarawak

KUCHING: Kepelbagaian budaya dan keharmonian pelbagai kaum menjadi kekuatan dan keunikan yang dimiliki Sarawak.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, perpaduan sosial yang digambarkan oleh
pemimpin dan rakyat Sarawak menyumbang kepada pembangunan negeri ini.

Katanya, latar belakang Sarawak yang kaya dengan pelbagai budaya serta dikukuhkan dengan keharmonian kaum menyerlahkan lagi keunikan negeri ini berbanding tempat-tempat lain.

“Kebersamaan sosial yang digambarkan oleh pemimpin berwawasan dan rakyat-rakyat yang berbakat telah membolehkan Sarawak yang kita cintai ini menyemai semangat kemajuan pembangunan yang lebih besar,” katanya dalam Perutusan Tahun Baharu Cina 2024 di sini.

Tambahnya, tahun baharu lunar ini adalah masa untuk rakyat negeri ini mencorak masa depan di samping merenung kembali pencapaian yang dilakar pada tahun lalu.

Katanya, tahun ini masyarakat Cina di Sarawak dan di seluruh dunia mengalu-alukan tahun Naga yang membawa simbol kuasa yang kuat, tuah tanpa batas, kecemerlangan, keazaman, maruah dan ketuhanan.

Justeru, beliau berharap, perayaan tahun ini akan membawa kegembiraan dan kebahagiaan kepada masyarakat khususnya kaum Cina dan dirahmati dengan kemakmuran dan kemajuan berterusan.