KUCHING: Pembangunan fizikal dan modal insan perlu bergerak seiring bagi memastikan kemajuan yang dicapai menyeluruh dan mampan.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata, konsep perjuangan dan pembangunan tidak harus tertumpu kepada pembinaan infrastruktur semata-mata, sebaliknya perlu diselarikan dengan usaha memperkasa pendidikan, sahsiah dan nilai murni dalam kalangan masyarakat.
Dalam hal ini, beliau menzahirkan rasa bangga kerana seramai 200 hingga 250 pelajar di kawasan Demak Laut berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) setiap tahun, sekali gus membuktikan keberkesanan agenda pembangunan modal insan yang dilaksanakan.
“Teruskan perjuangan yang mantap ini. Kita perlu memahami konsep perjuangan pembangunan fizikal dan modal insan secara seimbang demi mengekalkan bangsa yang benar-benar maju dunia dan akhirat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Sungkey dan Terawih Kepimpinan N5 Demak Laut di sebuah hotel terkemuka di sini, baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut itu memberitahu, sebanyak enam masjid baharu kini berada dalam pelbagai peringkat pelaksanaan, antaranya Masjid Pine Villa, Masjid Sejingkat, Masjid Goebilt, Masjid Senari, Masjid Tanjung Bako dan Masjid Muhibbah Seberang Pending.
Dalam majlis tersebut, masing-masing 16 masjid dan 16 surau di DUN N5 Demak Laut menerima sumbangan dana tahunan berjumlah keseluruhan RM880,000 bagi memastikan kelancaran aktiviti pengimarahan sepanjang Ramadan.
Turut menerima dana ialah 10 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), 20 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) serta 40 ranting bagi penganjuran program bubur lambuk.
